22 OKT : “Bangsa Indonesia tidak takut kepada sesiapa”. Demikian penegasan disuarakan Presiden Prabowo Subianto.
Penegasan itu susulan cadangan menurunkan status pasaran modal Indonesia kepada pasaran kendiri (standalone market) yang dibuat penyedia indeks global, Morgan Stanley Capital International (MSCI).
Prabowo berkata negaranya tidak akan tunduk kepada tekanan dan menyifatkan cadangan itu sebagai usaha MSCI untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat dan pentadbirannya.
“MSCI mahu menakut-nakutkan kita. Saya hanya mahu katakan kepada MSCI bahawa bangsa Indonesia tidak takut kepada sesiapa dan tidak akan gentar,” katanya ketika Mesyuarat Kabinet Penuh di Istana Presiden, Jakarta pada Rabu.
Beliau mengakui Indonesia masih berdepan pelbagai cabaran dan gangguan namun menegaskan kerajaan akan terus berusaha memperkukuh ekonomi negara tanpa mengenal erti menyerah.
“Kita mempunyai kekuatan, keberanian dan sanggup berkorban. Kita tidak mengenal erti menyerah.
“Kalau perlu, kita akan melaksanakan penjimatan besar-besaran. Jika perlu lebih berjimat, kita akan lakukannya,” katanya.
Sebelum ini, MSCI memulakan rundingan mengenai cadangan menurunkan klasifikasi pasaran modal Indonesia daripada kategori pasaran sedang pesat membangun (Emerging Market) kepada pasaran kendiri.
Cadangan itu susulan kebimbangan terhadap ketelusan struktur pemilikan saham serta dakwaan wujudnya amalan perdagangan saham secara terancang.
MSCI turut berpandangan langkah pembaharuan yang diumumkan Indonesia masih belum memperlihatkan kemajuan yang konsisten atau menghasilkan kesan ketara justeru, beberapa perubahan indeks melibatkan saham Indonesia dibekukan sepanjang tempoh rundingan.
Namun ia masih dalam penelitian dan keputusan muktamad hanya akan diumumkan diumumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2027.