23 OKT : Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar cedera selepas terlibat kemalangan di Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya, Ustaz Wadi kini berada dalam keadaan stabil.
“Alhamdulillah, Ustaz Wadi Annuar kini berada dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan ringan.
“Kami memohon jasa baik semua agar memberi ruang kepada beliau untuk berehat. Buat sementara waktu, beliau belum menerima kunjungan ziarah,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Orang ramai juga diajak untuk sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Ustaz Wadi serta semua individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Kemalangan yang dilaporkan berlaku pada jam 2.40 pagi di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik itu membabitkan tiga kenderaan, iaitu Toyota Vellfire, Perodua Myvi dan Perodua Bezza.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dalam kejadian itu lima mangsa cedera sementara lima lagi terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Kami mendapati kereta Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang di bahu jalan. Seorang lelaki berusia 25 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta itu manakala pemandunya berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah.
“Sementara itu terdapat empat penumpang di dalamnya MPV, dua daripadanya cedera dan dua lagi terselamat.
“Tiga mangsa di dalam kereta Perodua Myvi dan dua penumpang MPV yang cedera dibawa ke Hospital Gerik menaiki ambulans dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk menerima rawatan,” katanya.