23 OKT : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan laporan beliau akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat susulan krisis adat dan istana yang melanda negeri itu.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menyifatkan dakwaan yang tersebar di media sosial itu sebagai mainan politik pihak tertentu.
“Mainan politik saja tu…tidak betul. Saya tidak letak jawatan,” katanya ringkas ketika dihubungi, pagi ini, lapor Buletin TV3.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan Ismail didakwa akan menandatangani surat peletakan jawatan bagi memberi laluan kepada individu lain menerajui pentadbiran negeri.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa turut menafikan laporan berkenaan dan menegaskan Ismail masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Menteri besar bertugas seperti biasa. Tidak benar laporan itu,” katanya.
Kemelut di Negeri Sembilan tercetus susulan pertikaian berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selepas wujud pengisytiharan oleh pihak yang mendakwa Tuanku Muhriz diturunkan daripada takhta dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai pengganti.
Hubungan Ismail dengan Tuanku Muhriz juga dilihat tegang susulan insiden di sebuah masjid, baru-baru ini.