24 OKT : Spekulasi mengenai kemungkinan beberapa penyandang Barisan Nasional (BN) tidak disenaraikan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selain kemunculan muka baharu dan pertukaran kerusi, bukan perkara pelik.
Menjelang mana-mana pilihan raya termasuk hari penamaan calon PRN Melaka, perkara itu boleh dilihat sebagai sebahagian daripada strategi parti untuk meningkatkan peluang kemenangan.
Antara nama yang dikaitkan dengan kemungkinan digugurkan ialah EXCO kerajaan negeri Melaka, Datuk P Shanmugam dan Datuk Kalsom Nordin dan kemungkinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Shanmugam sebelum ini ADUN Gadek manakala Kalsom di Pengkalan Hulu manakala Sulaiman di Lendu.
Bezanya Sulaiman sebelum ini sudah menyatakan mahu berundur, selepas menyandang kerusi itu selama tiga penggal, namun menegaskan jika diminta parti untuk bertanding semula, beliau tidak menolak.
Sama ada benar atau tidak spekulasi pengguguran tersebut termasuk nama-nama lain, sudah tentu ada beberapa faktor sudah diambil kira pucuk pimpinan BN negeri diketuai Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mahupun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat.
Selain tempoh perkhidmatan yang lama, faktor prestasi turut diambil kira sama ada mereka berkhidmat dengan baik serta berkesan dan diterima masyarakat setempat.
Bagaimanapun, perubahan dalam senarai calon bukan sesuatu yang luar biasa dalam politik, kerana selain faktor di atas, ianya lebih kepada strategi pilihan raya.
Sudah tentu pertukaran ini bertujuan memberi ruang kepada muka baru yang lebih segar termasuk kriteria yang boleh menarik pengundi muda.
Apatah lagi jika mereka adalah pemimpin sayap parti saperti barisan Pemuda dan Puteri tanpa mengenepikan pemimpin peringkat Bahagian serta Wanita yang berpotensi.
Antara nama dikaitkan ialah Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Azman Abdullah; Setiausaha UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz serta Ketua Puteri UMNO Jasin, Asmah Sulaiman.
Itu antara sekadar beberapa nama yang sedang beredar di peringkat bahagian masing-masing, tanpa pengesahan kecuali nama yang akan diumumkan malam nanti.
Menyentuh perihal pertukaran kerusi atau tempat ditandingi, nama Exco kanan yang juga ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yassin yang hangat diperkatakan malah Ab Rauf sebagai Pengerusi UMNO Melaka dan juga Ketua Menteri turut membayangkan Rais akan bertanding di Sungai Udang.
Sekiranya berlaku perpindahan ini, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu masih bertanding dalam kawasan Parlimen yang sama, bukannya pindah ke kawasan dalam Parlimen lain.
Malah, pertukaran kerusi turut berlaku dalam DAP Melaka. Pada PRN 2021, Tey Kok Kiew yang sebelum itu mewakili DUN Bandar Hilir dipindahkan ke DUN Bemban, manakala Leng Chau Yen diketengahkan di Bandar Hilir.

Strategi awal berpindah ke DUN Sungai Udang bagi membantu BN merampas semula kerusi berkenaan daripada Perikatan Nasional (PN), namun kini PN dilaporkan menjadi rakan sekutu BN menghadapi PRN Melaka.
Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat juga kerap memindahkan pemimpin mereka keluar daripada kawasan tradisi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun manakala Lim Kit Siang mempunyai sejarah perpindahan kerusi yang banyak bermula Bandar Melaka/Kota Melaka, Tanjong (Pulau Pinang), Ipoh Timur (Perak) dan akhir sekali ke Gelang Patah/Iskandar Puteri (johor).
Justeru jangan isu perpindah Rais nanti jadi modal pemimpin PH.
Pengguguran penyandang, pertukaran kerusi dan kemunculan muka baharu tidak seharusnya dianggap sesuatu yang luar biasa atau hanya berlaku kepada BN.
Sebaliknya, itu strategi selain bergantung pada sejauh mana calon yang dipilih mampu meraih kepercayaan pengundi.
BN dijadual mengumumkan calon bagi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala baki tujuh kerusi diperuntukkan kepada PAS dan rakan politiknya berdasarkan persefahaman antara kedua-dua pihak.