30 OKT : Benjamin Netanyahu gagal memimpin partinya untuk memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya umum Israel yang berakhir, hari ini.
Pemimpin rejim zionis itu kini berdepan kesukaran untuk membentuk kerajaan baharu dek kekurangan lapan kerusi.
Knesset Israel memiliki 120 kerusi dan mana-mana parti politik memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi bagi membentuk kerajaan dengan majoriti di Parlimen.
Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel, gabungan parti sayap kanan pimpinan Netanyahu hanya menang 53 kerusi
Parti Likud yang dipimpin Netanyahu muncul sebagai parti tunggal terbesar dengan 27 kerusi.
Sementara blok pembangkang diterajui Gadi Eisenkot memperoleh 48 kerusi.
Dua gabungan parti Arab, Ra’am dan Joint List pula menguasai baki 19 kerusi, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan penting untuk menentukan pembentukan kerajaan seterusnya.
Bagaimanapun, proses rundingan dijangka berdepan cabaran dan kemungkinan pilihan raya baharu tidak dapat diketepikan sekiranya tiada gabungan mencapai persetujuan.
Dalam perkembangan berkaitan, kem Netanyahu mendakwa parti Arab menerima dana daripada Qatar bagi mempengaruhi proses pengundian, namun setakat ini tiada bukti terbuka dikemukakan bagi menyokong tuduhan itu.
Ketua Ra’am, Mansour Abbas menolak dakwaan berkenaan, manakala Qatar turut menafikan tuduhan tersebut.