27 OKT : Masih terdapat lebih 4,300 hektar hutan dan tanah di Indonesia yang terbakar dan sedang dipadamkan, membabitkan enam wilayah di Kalimantan dan Sumatera.
Operasi pemadaman terus dipergiat dengan pengerahan 57,050 anggota darat dan 61 pesawat bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, setakat Ahad, kebakaran melibatkan kawasan seluas 3,392 hektar di tiga wilayah di Kalimantan dan 990 hektar di tiga wilayah di Sumatera.
“Pelbagai strategi tindak balas terus dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan daerah dengan bantuan sukarelawan, termasuk operasi pengubahsuaian cuaca menggunakan ais kering,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kalimantan Tengah merekodkan kawasan terjejas terbesar di Kalimantan meliputi 2,458 hektar diikuti Kalimantan Barat 884 hektar dan Kalimantan Selatan 52 hektar.
Di Sumatera pula, Sumatera Selatan mencatatkan kawasan terjejas seluas kira-kira 889 hektar, diikuti Jambi 89 hektar dan Lampung 12 hektar termasuk kawasan di Taman Negara Way Kambas.
Bagaimanapun, tiada operasi pemadaman aktif dilaporkan di Riau.
Bagi menyokong operasi berkenaan, sebanyak 61 pesawat digerakkan terdiri daripada 37 helikopter pengebom air dan 24 pesawat untuk rondaan, operasi pembenihan awan serta aktiviti sokongan lain.
Sementara itu, operasi pemadaman turut diteruskan di kawasan pergunungan Arjuno-Welirang di Jawa Timur, yang mengalami kebakaran membabitkan kira-kira 1,090 hektar sejak 16 Oktober lalu.