2 NOV : Selain Johor dan Pahang, wakil-wakil rakyat Melaka jelas terkedepan dalam memanfaatkan media sosial sebagai penghubung aktiviti mereka dengan masyarakat setempat.
Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim, Datuk Dr Akmal Saleh dan Datuk Rais Yasin serta Datuk Abdul Razak Abdul Rahman antara figura cukup sinonim di Facebook dan TikTok.
Mereka sekaligus antara sosok politik cukup popular bukan sahaja di Melaka malah di negara ini dengan cerita-cerita suka duka masyarakat setempat terutama di DUN Tanjung Bidara, Duyong, Merlimau, Paya Rumput dan Telok Mas .
Sejak Pilihan Raya Umum ke-14, media sosial sudah memberi impak apabila pembangkang ketika itu berjaya menggunakan platform tersebut sebagai bahan kempen berpanjangan sehingga membawa kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat.
Rakyat khususnya pengundi muda amat mempercayai apa didedahkan media sosial ketika itu, sama ada maklumat yang disampaikan benar atau sebaliknya termasuk yang berunsur fitnah dan hasutan.
Menyedari pengaruh serta kesan platform digital dan mudah diakses rakyat, Ab Rauf memanfaatkan lebih awal perang atau kempen digital berbanding negeri-negeri lain sebaik menerajui Melaka tiga tahun lalu dengan meminta semua wakil rakyat mengaktifkan platform digital.
Kini bukan sahaja beliau, Helmy atau Akmal malah hampir semua wakil rakyat kerajaan di Melaka sudah mempunyai kekuatan dan penyokong di media sosial masing-masing.
Sudah tentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ini, mereka akan menggunakan kekuatan itu bagi mengekalkan sokongan terutama oleh pengikut serta penyokong di kawasan mereka wakili.
Kempen risalah termasuk bahan percetakan jelas tidak dapat menandingi keberkesanan platform digital dan dilihat kurang efektif di era digital ini.
Sebagai tokoh korporat dan dibidang pemasaran, Ab Rauf tahu bagaimana untuk memanfaatkan media sosial khususnya oleh semua wakil rakyat BN di Melaka.
Melalui media sosial, rakyat boleh berhubung secara terus dengan wakil yang dipilih di kawasan masing, begitu juga sebaliknya.
Strategi asalnya mungkin bukan untuk menambah pengundi tetapi menambah peminat.
Namun, lama-kelamaan, rakyat termasuk di luar Melaka dapat melihat betapa akrabnya setiap wakil rakyat dengan pengundi di Kawasan masing-masing.
Mereka berkongsi masalah, kegembiraan hingga ke air mata, malah ada yang asalnya benci kepada wakil rakyat bertukar kepada sayang kerana mereka sudah ada platform tempat mengadu masalah yang sukar diatasi sendiri.
Sekarang ada antaranya mempunyai ratusan ribu pengikut dan dengan jumlah sebanyak itu, apa juga mesej yang hendak disampaikan oleh wakil rakyat atau kerajaan dapat dikongsi.
Inilah yang menjadi senjata utama kempen calon-calon BN pada PRN Melaka kali ini.
Ketika calon parti lain masih terkial-kial mencari atau mahu menambah pengikut di platform digital, calon-calon BN, jelas sudah mendahului kempen yang masuk hari ketiga.
Tiga senjata lain atau modal PRN kali ini juga adalah melalui impak program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hebat serta Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang digerakkan lebih awal, dua tahun sebelum DUN Melaka bubar.
Cara Ab Rauf mengatur tiga program ini bagi mendekati, mendengar, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat Melaka amat berkesan.
Sekiranya ada isu yang tidak dapat diselesaikan melalui WRUR, perkara tersebut akan dibawa kepada Hebat (Hari Exco bertemu Rakyat) dan pengakhirannya kepada Ab Rauf melalui program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.
Sepanjang program ini hampir 75 peratus atau 3,600 daripada 4,800 masalah dan aduan rakyat yang diterima dapat diselesaikan.
Antaranya permohonan bantuan rumah serta permohonan tanah yang berlarutan hampir 30 tahun.
Jumlah aduan yang diterima bukan sekadar angka tanpa penyelesaian tetapi mana-mana pihak boleh menyemak atau berjumpa pengadu bertanya sama ada aduan mereka betul sudah diselesaikan atau hanya retorik politik.
Melihat kepada kejayaan ini, rakyat Melaka tidak perlu was-was atau curiga untuk terus mengekalkan kerajaan negeri sedia ada pimpinan Ab Rauf serta barisan wakil rakyat yang akan dipilih 14 November nanti.
Apa yang sudah didepan mata tentu lebih baik daripada termakan gula-gula mendengar pihak yang menjanjikan seribu satu perkara pada kempen PRN sedang berjalan.
Jelas semua itu bukti Melaka Sayang Rakyat atau Mesra.
Mana lagi, Melaka ler!
