2 NOV : Perselisihan faham dipercayai berhubung perebutan kawasan perniagaan menjadi punca kejadian rusuhan di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, kira-kira jam 11 malam tadi.
Insiden itu membawa kepada penahanan sembilan individu termasuk dua suspek utama, selepas polis bertindak mengawal keadaan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berpunca daripada perselisihan faham membabitkan perebutan kawasan perniagaan.
Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah Cheras serta elemen lain dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.
“Sembilan suspek berusia antara 16 hingga 44 tahun yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita ditahan di sekitar lokasi kejadian.
“Semakan rekod mendapati sebahagian besar suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik,” menurut Fadil menerusi kenyataan hari ini.
Polis turut merampas beberapa barang yang disyaki digunakan ketika kejadian.
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Cheras (03-9205 0445/465) atau mana-mana balai polis berhampiran.
*Foto : Janaan AI