3 NOV: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar hanya berada di Kompleks Japerun Rim ketika Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengadakan majlis sumbangan sempena sambutan Deepavali.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, pada masa sama semalam adalah hari proses undian pos untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini.
“Saya melihat daripada sudut pandangan yang berbeza. Saya difahamkan, kompleks itu digunakan MPJ untuk beri bantuan kepada masyarakat India oleh pihak majlis.
“Semalam juga hari proses bagi undian pos dan tiada kena mengena dengan calon. Bagaimanapun, saya serahkan kepada pihak berkuasa menilai keberadaan Datuk Dira di situ,” katanya.
Beliau mengulas laporan polis dibuat wakil Pakatan Harapan (PH) mendakwa penyandang kerusi DUN Rim itu berkempen di premis dan menggunakan jentera kerajaan.
Mengenai dakwaan Pengerusi Parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya perbelanjaan kerajaan Melaka bagi tempoh 2021 hingga 2024 meningkat 6.72 peratus setahun, Ab Rauf berkata, beliau tidak tahu daripada sumber mana bekas pemimpin PKR tersebut mendapat angka itu.
“Saya tidak mahu komen. Biasalah, (itu) daripada sudut pandangan mereka untuk meremehkan pentadbiran negeri sepanjang tugas saya sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Menurut Ab Rauf sepanjang 22 tahun kerajaan, pada tahu lepas Melaka terima pelaburan terbesar RM14.8 billion manakala perbelajaan pula tidak melebihi pendapatan.

Terdahulu, Ab Rauf berjumpa dengan jentera BN DUN Pengkalan Batu yang dihadiri calonnya, Siti Aishah Mahmood serta bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Kalsom Noordin.