5 NOV : Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berdepan saman sivil yang difailkan dua anggota Cawangan Khas (SB) yang tular sebelum ini.
Saman itu difailkan Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad di Mahkamah Sesyen Sepang menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates.
Kedua-dua anggota berkenaan menamakan Mohd Shuhaily sebagai defendan atas kapasiti peribadinya, tanpa melibatkan Kerajaan Malaysia sebagai pihak dalam tindakan undang-undang itu.
Peguam kepada dua SB itu, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, tuntutan berkenaan merangkumi empat perkara iaitu tort penahanan salah, serangan, kekerasan fizikal serta fitnah.
“Kedua-dua plaintif percaya saman berkenaan adalah saluran yang tepat untuk mereka mendapatkan keadilan,” katanya.
Perhatian sebelum ini tertumpu padanya susulan video tular dan pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily, 54 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan tersebut.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kejadian itu berlaku pada 28 September lalu, ketika Mohd Shuhaily bersama pasukannya melakukan tinjauan kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA menjelang ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Dalam tinjauan berkenaan, AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) turut menjalankan operasi terhadap sindiket ‘ulat’ warga asing dan menahan seorang individu untuk pemeriksaan lanjut.
Ketika pemeriksaan itu, dua individu yang tidak terbabit dalam pasukan operasi dilaporkan merakam kejadian dan diarah memadamkan rakaman sebelum berlaku insiden tersebut.
Video yang kemudian tular pula disahkan sebagai rakaman sebenar daripada sistem CCTV KLIA, tetapi menurut AKPS, klip itu bukan daripada sumber asal kerana ia dipercayai dirakam semula menggunakan peranti lain sebelum disebarkan.