5 NOV : Dakwaan Barisan Nasional (BN) hanya pandai bercakap tanpa melakukan kerja disifatkan tidak berasas kerana rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh boleh dinilai menerusi data dan pencapaian yang sudah jelas terbukti.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, antara bukti usaha kerajaan negeri ialah pelaksanaan program turun padang ke semua 28 kawasan DUN serta penyaluran peruntukan sebanyak RM100,000 kepada setiap kawasan menerusi inisiatif berkaitan.
Beliau yang pernah memegang portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, peruntukan itu turut disalurkan kepada kawasan yang ketika itu diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).
“Kalau bercakap tentang omongan kosong ataupun tak buat kerja dan sebagainya, kalau ada pun cakap-cakap sebegitu, kita rujuk kepada fakta,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa turun berkempen di Taman Desa Taming Sari serta Taman Terendak Permai, hari ini.
Rais mengingatkan supaya pencapaian kerajaan negeri dinilai berdasarkan hasil kerja, termasuk perkembangan pelaburan, pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan sektor pelancongan.
Beliau turut menyentuh kejayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka meraih pelbagai pengiktirafan, termasuk ASEAN Clean Tourist City Award, selain pembinaan lebih 120 rumah baharu untuk golongan yang memerlukan.
“Kepada mereka yang bercakap begitu, tepuk dada tanya iman masing-masing. Kita tolak politik fitnah atau politik menghasut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rais berkata, tumpuan diberi kepada usaha mendekati pengundi sepanjang tempoh kempen dua minggu ini, khususnya penduduk di taman perumahan yang berusia antara 30 hingga 40 tahun di DUN Sungai Udang.
Katanya, pendekatan bertemu pengundi secara langsung membolehkan beliau mendengar sendiri masalah penduduk dan mencari jalan penyelesaian sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh untuk rakyat negeri Melaka membuat pilihan pada 14 November ini.