9 NOV : DNA pembangkang nampaknya masih menebal dalam kalangan parti lawan meskipun sudah berada dalam kerajaan apabila terus menyerang, mencaci dan menghina Barisan Nasional (BN) ketika berkempen di Melaka.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan itu jelas berbeza dengan BN yang lebih menumpu kepada usaha menjelaskan manfaat dan tawaran parti kepada rakyat.
“Itu memang menjadi tabiat semula jadi mereka. Walaupun sudah menjadi kerajaan, tetapi masih lagi berkelakuan seolah-olah mereka parti pembangkang.
“Sepatutnya sebagai parti kerajaan, mereka perlu menonjolkan bagaimana kerajaan sekarang khususnya di peringkat Persekutuan, dapat memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai apa yang mahu dilakukan, apa yang sudah dilaksanakan dan apa yang sudah dicapai. Tetapi DNA pembangkang itu memang tidak lekang daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas beramah mesra dan bersarapan pagi dengan masyarakat Lendu di Warung Roti Canai Yusof, Kampung Durian Daun, hari ini yang turut dihadiri calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO turut mengingatkan semua parti politik agar mengambil kira hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan ketika ini dan tidak menjadikan kempen PRN Melaka sebagai pentas menyerang sesama sendiri.
“Kita mesti melihat kerajaan Persekutuan, kita masih berada dalam Kerajaan Perpaduan. Kita perlu memastikan kempen dijalankan secara berhemah kerana matlamat kita berkempen adalah untuk membentuk kerajaan. Kempen bukan untuk mencaci, menghina atau memburuk-burukkan pihak lawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) terus menjalankan kempen dengan penuh berhemah dan tidak terikut-ikut gaya parti lawan menjalang tempoh kempen yang masih berbaki kurang seminggu.
“Jadi, saya harap petugas dan penceramah BN serta Perikatan Nasional (PN) tidak mengikut rentak sedemikian. Sejak awal, selepas penamaan calon, saya sudah mengingatkan supaya BN dan PN menjalankan kempen secara tertib.
“Kita juga perlu memujuk pengundi supaya terus bersama-sama memberikan sokongan kepada BN dan PN. Insya-Allah,” katanya.
Selain itu, Menteri Luar itu turut mengingatkan jentera parti agar terus memberi penjelasan terhadap pelbagai isu dibangkitkan kepada orang ramai terutama yang berpotensi mengelirukan pengundi.
