9 NOV : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem menawarkan 10 aku janji merangkumi pembangunan kemudahan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur bagi mendapatkan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Antara tawaran utama calon Barisan Nasional (BN) itu termasuk pembinaan klinik kesihatan baharu di Tebong, sekolah agama di Lesung Batu serta bantuan pendidikan tinggi RM200 secara sekali bayar.
Hee Sem atau lebih dikenali sebagai Ah Sem berkata, kesemua aku janji berkenaan dirangka berdasarkan keperluan penduduk yang dikenal pasti sepanjang tempoh beliau menyandang kerusi itu pada penggal lalu.
Menurutnya, tawaran berkenaan turut meliputi aspek perumahan, kemudahan asas, pembangunan infrastruktur serta peluang pekerjaan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Dalam lima tahun ini saya sentiasa turun ke DUN. Saya dapat tahu apa yang rakyat DUN Machap Jaya mahukan, termasuk sekolah agama dan juga kawasan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Aku Janji dan Pencapaian Calon BN N.08 Machap Jaya di Pusat Gerakan Utama BN di Lesung Batu pada Ahad.
Mengulas aspek kesihatan, Hee Sem berkata, beliau akan terus memperjuangkan pembinaan klinik kesihatan kerajaan baharu di Tebong selain menaik taraf kemudahan klinik sedia ada bagi memperluas akses rawatan dan meningkatkan keselesaan pesakit.
“Klinik Kesihatan Tebong agak kecil dan juga sempit. Ia juga terletak di kawasan selekoh, agak berbahaya. Saya sudah mengenal pasti satu tanah seluas 8 ekar,” katanya.
Dalam bidang pendidikan, beliau menawarkan bantuan tambahan RM200 secara sekali bayar kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Beliau turut merancang memperjuangkan pembinaan bangunan baharu Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Lesung Batu dengan menggunakan ruang tersedia dalam kawasan masjid baharu seluas 11 ekar.
“Di sekitar sini belum ada sekolah agama. Apabila banyak projek perumahan sudah siap, mereka ada tempat untuk anak-anak yang hendak pergi ke sekolah agama,” katanya.
Aku janji lain termasuk pembangunan tanah perkuburan Islam moden dan digital serta penyediaan tanah perkuburan Cina baharu seluas lima ekar.
Bagi merancakkan pembangunan setempat, Hee Sem turut memberi tumpuan kepada peluasan peluang pemilikan rumah mampu milik, pengembangan sektor pelancongan dan warisan budaya tempatan serta penambahbaikan jalan raya dan sistem perparitan di kawasan kampung.
“Kita akan memohon bajet untuk menaik taraf jalan dan longkang supaya dijadikan kampung tersusun yang moden. Kita akan buat secara berperingkat untuk memohon bajet daripada pusat,” katanya.
Dari aspek ekonomi pula, beliau menyenaraikan pembinaan jalan penghubung Lesung Batu-Alor Gajah serta usaha memperkasa industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menarik pelaburan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kalau tidak dapat yang besar, dapat yang kecil pun boleh, supaya kita boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada belia,” katanya.
