9 NOV : Tiga lelaki dilaporkan maut dipercayai akibat disambar petir dalam kejadian di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, petang ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman memaklumkan kejadian berlaku ketika tiga lelaki tempatan itu berteduh di bawah pokok selepas membaiki sebuah kenderaan.
Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang.
“Ketiga-tiga mangsa masing-masing berusia 26, 18 dan 16 tahun. Mayat dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kejadian itu mula mendapat perhatian selepas tular beberapa rakaman video dan gambar yang menunjukkan tiga individu terbaring di bawah pokok besar dan ditutupi kain.
Difahamkan hujan lebat melanda kawasan itu ketika kejadian malang berkenaan.