10 NOV : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima laporan penuh berhubung dakwaan laman webnya diserang, awal pagi tadi.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat selepas memperoleh maklumat lengkap mengenai perkara itu.
“Saya tak dapat laporan penuh lagi berkenaan dengan perkara tersebut dna insya-Allah SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat berhubung perkara tersebut.
“Kita sama-sama berdoa agar serangan siber itu tidak menyerang laman web kitalah kerana ia amat penting dalam kita melaksanakan pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, hari ini.
Pagi tadi, ketika siaran langsung SPR di media sosial, memaklumkan laman web suruhanjaya itu dipercayai berdepan ancaman serangan siber.
Bagaimanapun kata Ramlan, SPR sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan laman web suruhanjaya itu tidak menjadi sasaran serangan siber sepanjang pelaksanaan pilihan raya.
“Kita sudah pun bekerjasama dengan semua autoriti yang berkaitan untuk memastikan supaya perkara tersebut tidak berlaku, insya-Allah,
“(Lapor MCMC?) Kita telah pun bekerjasama untuk tindakan melindungi sistem kita daripada dicerobohi,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ramlan memaklumkan sebanyak 237 kesalahan pilihan raya direkodkan pasukan pemantau SPR sepanjang tempoh kempen PRN Melaka ke-16, sehingga semalam.
Katanya, kesalahan itu dikategorikan sebagai pelanggaran kecil peraturan pilihan raya, antaranya membabitkan aktiviti kempen, pemasangan bendera serta bahan kempen.
“Setakat ini, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kita tidak menerima (laporan) insiden-insiden besar berlaku.
“Saya berharap kita ada beberapa hari lagi suasana ini akan berterusan dan saya menyeru semua pihak supaya meneruskan kempen secara berhemah, tertib dan tidak menimbulkan sebarang gangguan,” katanya.
Ramlan berkata pihaknya mensasarkan 95 peratus pengundi awal keluar mengundi, hari ini di mana 31 pusat mengundi dengan 50 saluran disediakan dan akan ditutup mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, seramai 12,531 pemilih layak mengundi yang merangkumi 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 pegawai dan anggota polis.
