10 NOV : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan terhadap permohonan terkini Jabatan Peguam Negara (AGC) berkait pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berharap tiada sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai usaha melengahkan pelaksanaan keputusan dibuat Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak wajar dicabar.
“Segala undang-undang di negara ini, induknya adalah Perlembagaan Malaysia dan jika sesuatu itu telah termaktub di bawah Perlembagaan itu, ianya hendaklah dipatuhi sepenuhnya dan jangan pernah mencabar kuasa mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Kakitangan Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi di Tangga Batu, hari ini.
Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata AGC memohon perintah pelepasan baharu bagi Najib, selaras dengan pengampunan bersyarat diberikan kepadanya dan permohonan itu dibuat berdasarkan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Pada 6 November lalu, Najib melunaskan denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah sesuai pengampunan bersyarat diterima pada 18 September lalu.
Namun, AGC menangguhkan sementara pelaksanaan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, Mohd Dusuki mempersoalkan ketelitian penyediaan dokumen rasmi mahkamah berkaitan pelaksanaan perintah tahanan rumah itu yang didakwa mempunyai kecacatan ketara dan tidak sepatutnya berlaku.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata UMNO bersedia mendedahkan segala maklumat terperinci berhubung kutipan sumbangan RM50 juta yang digunakan untuk membayar denda Najib melalui Tabung Solidariti Najib yang dilancarkan mengikut garis panduan ditetapkan pihak berwajib .
“Jadi usaha itu dibuat bagi menentukan garis panduan diikuti sepenuhnya oleh struktur hierarki yang ada dan kita sedia untuk membuka semua maklumat terperinci hasil kutipan itu kepada pihak berwajib kerana kita telah mendapat garis panduan daripada pihak berwajib.
“Kita ikuti sepenuhnya garis panduan berkenaan dan wang itu disalurkan setelah ianya dimasukkan dalam akaun yang diamanahkan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia,” katanya.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64 memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.
Sejurus keputusan itu, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib bagi mengumpul sumbangan orang ramai untuk membantu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib dan tabung itu kemudiannya ditutup pada 6 November lalu susulan sudah mencapai sasaran selain bayaran denda dibuat pada pagi Jumaat itu juga.