10 NOV : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem membidas pihak yang mempersoalkan tindakannya memohon peruntukan RM700,000 daripada Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan garis panduan pembiayaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menetapkan 30 peratus (%) daripada pemohon manakala baki 70% ditanggung kerajaan.
Menurutnya, permohonan berkenaan tidak sepatutnya dijadikan bahan kritikan, apatah lagi apabila ada pihak membandingkannya dengan kemampuan UMNO mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya minta, tulis di situ (media sosial) minta PM RM700,000 untuk bina masjid. Melantun-lantun orang kata ‘untuk Najib boleh bayar RM50 juta, RM700,000 pun susah nak cari’.
“Sekarang Helmy jawab. Tuan-tuan dan puan-puan, untuk pengetahuan dalam undang-undang permohonan peruntukan bagi membina masjid, ICU JPM menggariskan panduan bahawa mencari duit itu 30-70. 30% pemohon orang kampung, anak kariah dan 70% sumbangan kerajaan. Itu dah warta. Jelas dan nyata.
“Salah ke? Saya minta benda yang kita layak. Salah ke saya mohon?” katanya.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Duyong berkata demikian dalam program sembang santai dengan penduduk, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kos keseluruhan projek naik taraf masjid berkenaan RM3.2 juta, namun pada awalnya hanya RM1.5 juta atau 48% daripada kos projek dipohon menerusi empat surat permohonan yang dikemukakan dalam tempoh dua tahun.
Namun, permohonan itu katanya dikurangkan lagi kepada RM700,000 atau sekitar 22 sahaja peratus daripada keseluruhan kos.
“Hari ini tuan-tuan dan puan-puan, tak cukup RM700,000 sahaja…22% yang tak cukup. Lagi rendah daripada 30% yang patut kita sediakan,” katanya.
Helmy berkata, sebanyak RM2.5 juta sudah berjaya dikumpulkan bagi projek berkenaan menerusi sumbangan pelbagai pihak, termasuk RM50,000 daripada Ahli Parlimen dan komitmen RM100,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Katanya, baki kutipan itu diperoleh hasil sumbangan orang ramai yang digerakkan menerusi pelbagai saluran termasuk kempen di media sosial.
Malah, wakil masjid yang turut tampil malam tadi memaklumkan usaha Noor Helmy mengumpul dana menerusi TikTok berjaya memperoleh RM550,000.
Helmy berkata, usaha mendapatkan sumbangan menerusi media sosial dilakukan kerana kemampuan kewangannya sebagai wakil rakyat juga terbatas.
Katanya, peruntukan tahunan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bukan bertaraf Exco ialah RM300,000, namun kira-kira RM40,000 perlu digunakan untuk urusan pentadbiran.
Justeru, baki RM260,000 perlu diuruskan bagi memenuhi pelbagai keperluan penduduk sepanjang tahun dan tidak boleh disalurkan sepenuhnya kepada satu projek.
“Saya tak ada duit tuan-tuan dan puan-puan tapi saya ada otak saya ada kepercayaan. Orang percaya pada saya. Jadi saya gunakan segala-galanya untuk menghasilkan sumbangan kepada masjid,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak yang mempertikaikan usahanya mendapatkan dana melalui platform media sosial, sedangkan pendekatan itu membolehkan lebih banyak sumbangan dikumpulkan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan peribadinya.