11 NOV : Kempen jentera Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Ayer Limau kini dipergiat bagi berhubung dan berjumpa seberapa ramai pengundi luar yang balik untuk mengundi Sabtu ini.
Penyandang kerusi DUN berkenaan, Datuk Hameed Mytheen berkata, ada hampir 2,000 pengundi luar yang bersungguh-sungguh mahu balik mengundi.
“Dahulu kita hanya ada seramai 500 orang tetapi bila mereka berusia 18 tahun dibenarkan mengundi, jumlahnya kini hampir 2,000 orang. Kita akan jumpa di PDM (Pusat Daerah Mengundi) masing-masing pada malam sebelum pilihan raya,” katanya kepada media.
Sebelum itu, beliau dan jentera BN menerima lawatan Pengerusi BN Melaka yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh di bilik Gerakan DUN Ayer Limau, Masjid Tanah.
Sementara itu katanya, sejak berkempen, beliau sempat menziarahi lebih 200 rumah sekitar kawasan DUN Ayer Limau.
Bagaimanapun, menurut Hameed, sejak mewakili Kawasan itu. lebih 1,500 rumah sudah diziarah sekaligus memberi peluang rakyat setempat bertemu secara nyata dengannya.
Dalam pada itu, Hameed berharap jumlah pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada 14 November ini mencecah 80 peratus berbanding 65 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 15.379 pengundi berdaftar sehingga 31 Oktober lalu.
Katanya, jumlah yang ramai keluar mengundi akan menjadi indikator yang betul serta sempadan kepada pihak lawan bahawa itulah jumlah pengundi yang memilih dan menentukan siapa wakil rakyat pilihan mereka.
Hameed, bekas Exco kerajaan negeri itu akan dicabar Mejar (B) Mohd Jaini Dimon (PH-PKR).
