11 NOV : Keputusan Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai komitmen peribadi yang perlu ditanggung sendiri pemimpin DAP itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tiada mana-mana pihak memaksa Anthony membuat janji malah keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri maka ia tidak wajar dipertikaikan.
“Saya tak pernah dengar orang paksa dia (Anthony). Dia yang menawarkan diri untuk berbuat demikian.
“Jadi, saya rasa itu keputusan sendiri. Bagi dia yang telah berjanji, dia rasa nak buat, itu hak dia, biar dia tanggung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama NGO Masyarakat Cina, malam tadi.
Mengulas isu tahanan rumah Najib, Wee berkata, sebarang keputusan berkaitan perkara itu perlu dilihat daripada sudut proses perundangan selain menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menegaskan MCA tidak pernah mendesak mana-mana pihak membuat keputusan berhubung isu berkenaan.
“Keputusan yang dibuat menerusi kuasa Seri Paduka Baginda perlu dihormati dan tidak seharusnya dipertikaikan sewenang-wenangnya,” katanya.
Sementara itu, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP sempat menyindir Ka Siong dengan mendakwa Presiden MCA berkenaan hanya lantang mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan.
“Mungkin dia sudah lama biasa dengan MCA. Dia ingat, Presiden MCA cakap tak serupa bikin. Boleh ugut-ugut tetapi tak berani buat.
“Ini Setiausaha Agung DAP! Kita kotakan janji. Kita kotakan kata-kata, bukan macam Wee Ka Siong,” katanya.
Sebelum ini, Anthony menyatakan kesediaan melepaskan jawatan Kabinetnya jika Najib dibenar menjalani tahanan rumah dan ia akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib tiba di kediamannya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
