PM bidas UMNO, kritik kerajaan walau masih dalam Kabinet
13 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pemimpin UMNO yang didakwa turut mengkritik kerajaan ketika berkempen di Melaka meskipun parti itu sendiri berada dalam Kabinet Perpaduan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan sikap pihak yang mempertikaikan harga petrol RM1.99 seliter, sedangkan kerajaan perlu menyediakan peruntukan sehingga RM40 bilion bagi mengekalkan harga rendah berkenaan.
Katanya, perkara itu sepatutnya difahami anggota Kabinet yang turut terlibat dalam perbincangan mengenai kemampuan kewangan kerajaan.
“Saya tak faham ni orang PAS, kawan-kawan UMNO, UMNO pun macam tu juga. Dia duduk dalam mesyuarat jemaah menteri ini dan dia bagi tahu, boleh ke ni? Rendah sangat ni. Ada duit ke?
“Eh mari (datang) sini (Melaka) kemudian hentam kita. Tak boleh macam tu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu program sembang santai di Ayer Molek, malam tadi.
Anwar berkata, penurunan harga petrol kepada RM1.99 seliter bukan sesuatu yang diberikan secara percuma, sebaliknya memerlukan komitmen kewangan besar daripada kerajaan.
“Pasal rendahkan betul. Bila kita turunkan harga minyak itu (kepada) RM1.99, apa makna? Kerajaan kena bayar RM40 bilion, bukan free. Hangpa tak reti? Kamu mengaji di mana?
“Nak jadi calon, nak perintah pula kita. Nak perintah negeri?…eh poodah!,” katanya.
Bahang hubungan antara parti parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan kian terasa malah pergeseran itu mula diterjemahkan menerusi pertikaian terbuka antara pemimpin parti tanpa berselindung.
Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November 2025, ketegangan itu berlanjutan ke Johor dan Negeri Sembilan pada Julai serta Ogos lalu apabila Barisan Nasional (BN) dan PH berdepan sebagai seteru politik di peringkat negeri meski masih membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.
Pelbagai pertikaian wujud hingga yang terbaharu Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu, berbanding melakukan rombakan Kabinet.
Cadangan itu mengundang reaksi Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo yang menyifatkan tindakan berkenaan tidak wajar, malah menggesa pemimpin UMNO dan BN meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.
Anwar pada ucapannya di Melaka juga menyahut cabaran untuk membubarkan Parlimen bagi memberikan mandat kepada rakyat sambil menegaskan beliau tidak ‘makan’ dek ugutan.
