17 NOV : Perjalanan sekumpulan 10 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berakhir dengan tragedi apabila van dinaiki terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, dekat Tapah, 11.30 pagi tadi.
Kejadian di Kilometer 351.7 arah selatan itu mengorbankan seorang anggota, manakala sekurang-kurangnya empat lagi mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan semua mangsa dibawa ke Hospital Tapah.
“Mayat dan mangsa yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Tapah,” katanya, lapor Harian Metro.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan van polis terbabit tersadai di bahu kiri lebuh raya, dengan beberapa mangsa terbaring di atas jalan berhampiran kenderaan itu.
Insiden itu turut menjejaskan kelancaran trafik apabila PLUS melaporkan kesesakan sepanjang kira-kira tujuh kilometer di laluan antara Bidor dan Sungkai.
Menurut PLUS menerusi kemas kini di akaun X, hanya lorong kecemasan masih ditutup setakat jam 1.21 tengah hari, manakala lorong lain sudah dibuka kepada pengguna.
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya berhati-hati dan merancang perjalanan ketika melalui kawasan berkenaan.