17 NOV : Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, petang tadi.
Pertemuan yang dipercayai bermula kira-kira jam 5 petang itu berakhir pada jam 6.30 petang, namun butiran lanjut mengenai sesi menghadap berkenaan masih belum dimaklumkan.
Ismail mula kembali menjadi tumpuan susulan pengesahan Barisan Nasional (BN) malam tadi bahawa Ismail sudah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 16 November 2026.
Semalam, Barisan Nasional (BN) mengesahkan Ismail yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima salinan surat peletakan jawatan itu bertarikh 16 November 2026 yang dihantar kepada Tuanku Muhriz.
Susulan itu, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan memaklumkan pihak istana masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail meskipun salinan dokumen berkenaan telah dikemukakan.
“Pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut YB Datuk Seri Zambry telah ditandatangani oleh Datuk Ismail Lasim,” menurut kenyataan itu.
Namun, sehingga hari ini, Ismail masih menjalankan tugasnya sebagai menteri besar dengan berkongsi aktiviti itu di Facebook rasminya.