20 NOV : Penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak yang bakal dimuatkan ke dalam pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang dikesan menerusi pemeriksaan rutin pada 17 November lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, barang terlarang itu ditemui petugas TUDM ketika memeriksa bagasi di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), sebelum melaporkannya kepada pihak atasan.
Menurutnya, Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM kemudian menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pasukan polis tiba di lokasi kira-kira pukul 5.20 petang hari sama dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya.
“Kesemua lima bagasi dan sebuah kotak telah disita sebagai bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat telah ditahan oleh PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.
Khaled berkata, penemuan itu merupakan kes pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin dijalankan oleh TUDM.
Katanya, TUDM sudah menyerahkan kes berkenaan kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses tersebut.
“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah.
Malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan telah membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan TUDM.
Ia susulan penemuan 96.64 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang dipercayai diseludup menggunakan kemudahan pengangkutan udara TUDM dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Menurutnya, polis menahan 11 individu, termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.
Kesemua lima pegawai TUDM direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini, manakala suspek awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan.