19 NOV : Sebanyak 96.64 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.83 juta dipercayai diseludup menggunakan kemudahan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Kegiatan sindiket rentas sempadan itu terbongkar selepas polis menahan 11 individu, termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dan turut mengeksploitasi kedudukan individu tertentu dalam institusi keselamatan negara.
Operasi hasil kerjasama risikan antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM itu turut membawa kepada rampasan 6.98 kg cecair bahan kimia.
“Modus operandi ini memperlihatkan tahap keberanian dan kelicikan sindiket dalam mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan awal mendapati dua daripada enam suspek awam dipercayai bertindak sebagai penyelaras yang mengatur serta menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
Polis kini sedang mengesan seorang lagi rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi ketua sindiket bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian.
“JSJN kini sedang giat mengesan seorang lagi warganegara Malaysia yang dipercayai merupakan ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terlibat,” katanya.
Kesemua lima pegawai TUDM direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini, manakala suspek awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan.
Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek awam positif methamphetamine, sementara seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menjejaskan sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.
Selain dadah, JSJN turut menyita tiga kenderaan iaitu Honda CR-V, Toyota Vios dan Land Cruiser dengan nilai keseluruhan RM172,062 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Hussein menegaskan tindakan penguatkuasaan tidak akan terhenti setakat penahanan pengedar dan rampasan bekalan, sebaliknya turut menyasarkan dalang serta sumber kewangan sindiket.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, tanpa mengira pangkat, jawatan, kedudukan atau organisasi yang diwakili.
“Tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan tiada sindiket yang terlalu berpengaruh untuk ditumpaskan,” katanya.