20 NOV : Tujuh balai polis di wilayah Narathiwat, Thailand, termasuk di kawasan sempadan Sungai Golok, menjadi sasaran serangan melibatkan letupan dan perbuatan khianat awal pagi ini.
Kejadian antara jam 3.30 pagi hingga 7.30 pagi (waktu Thailand) itu turut membabitkan kerosakan infrastruktur, pembakaran tayar dan pemasangan kain rentang dengan simbol luar biasa di beberapa lokasi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, tujuh kawasan terjejas melibatkan Waeng, Buketa, Chanae, Rangae, bandar Narathiwat, Sungai Golok dan Tak Bai.
Dua kawasan terakhir terletak bertentangan dengan Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan.
Menurutnya, kejadian turut membabitkan letupan yang menyasarkan tiga tiang elektrik di Waeng, kerosakan sebuah lagi tiang elektrik di Buketa serta beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang dirosakkan.
“Di Chanae, selain kamera CCTV yang dirosakkan, polis turut menemui simbol berbentuk mata anak panah yang disembur menggunakan cat di lokasi kejadian serta satu objek mencurigakan berhampirannya.
“Di Rangae, beberapa lokasi melaporkan kejadian pembakaran tayar, manakala sebuah beg plastik hitam yang mencurigakan ditemui di salah satu lokasi.
“Di bandar Sungai Golok, satu kain rentang ditemui tergantung pada pondok perhentian di tepi jalan di hadapan Pejabat Pengangkutan Darat Sungai Golok, di daerah kecil Pasemas, berhampiran sempadan Malaysia,” katanya.
Prayong berkata, kain rentang turut ditemukan di beberapa lokasi lain termasuk Rangae, bandar Narathiwat dan Tak Bai.
Salah satu kain rentang itu berupa kain putih dengan tiga simbol dilukis menggunakan tangan, iaitu anak panah hijau menghala ke atas, tanda soal biru dan anak panah merah menghala ke bawah yang menimbulkan persoalan mengenai maksud simbol dipaparkan.