22 NOV : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim disahkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di negeri itu.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa memaklumkan perkara itu, hari ini.
Mohd Fasha berkata beliau sudah mendapat pengesahan mengenai keadaan Ismail dan dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu semakin pulih.
“Saya telah mendapat pengesahan berhubung keadaan Datuk Ismail Lasim. Untuk makluman, beliau kini sedang menerima rawatan di hospital dan alhamdulillah keadaannya dilaporkan semakin pulih.
“Terima kasih atas keprihatinan semua. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.
Namun, tidak dimaklumkan punca Ismail dimasukkan ke hospital dan tarikh beliau mula menerima rawatan.
Perkembangan itu menyusul selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung di Istana Seri Menanti, hari ini, tidak diteruskan seperti dijadualkan.