22 NOV : Barisan Nasional (BN) menyerahkan urusan berkait pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Ismail Lasim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu tidak akan sesekali melanggar mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan negeri.
Sebaliknya, beliau berkata BN akan mencari penyelesaian terbaik berhubung susun atur pentadbiran kerajaan negeri selepas mendapat perkenan baginda.
“Kita serahkan perkara ini untuk diselesaikan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Bagaimanapun, kepentingan untuk pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar terutamanya menjelang persidangan Belanjawan 2027 Negeri Sembilan mesti dibuat.
“Untuk 24 ADUN Negeri Sembilan, BN akan mencari jalan penyelesaian bagaimana pentadbiran kerajaan negeri disusun atur setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Dewan San Choon, Wisma MCA, hari ini.
Pada Isnin, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima salinan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bertarikh 16 November 2026 yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Susulan itu, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan memaklumkan pihak istana masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail meskipun salinan dokumen berkenaan telah dikemukakan.
Kenyataan itu menyebut selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Susulan itu, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail sebanyak dua kali dan Ismail memaklumkan beliau tidak pernah meletakkan jawatan dan akan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
Menurut kenyataan dikeluarkan istana susulan pertemuan itu, Ismail perlu menunjukkan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Tuanku muhriz.
Pada Jumaat, 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh terhadap sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti dalam perjumpaan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan.
Perjumpaan itu tidak disertai Ismail yang juga ADUN Juasseh.