25 NOV : Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara anggota ASEAN yang dilanda bencana, termasuk menyertai misi bantuan bersama ke luar rantau sekiranya diperlukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesediaan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam menghadapi krisis bencana mengikut keperluan dan kemampuan serantau.
Beliau berkata, Malaysia turut menyokong usaha menggerakkan bantuan kemanusiaan secara bersama ke luar rantau atas permintaan negara yang terjejas.
“Saya telah menegaskan bahawa Malaysia sentiasa bersedia membantu negara anggota ASEAN apabila bencana melanda, termasuk menyokong usaha menggerakkan bantuan kemanusiaan secara bersama ke luar rantau atas permintaan negara terjejas, mengikut keperluan dan kemampuan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-14 di Jakarta, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu dimulakan sebelum sesuatu kejadian berlaku, termasuk memastikan setiap amaran awal disusuli tindakan sewajarnya.
Menurutnya, tindakan pantas penting bagi memastikan agensi berkaitan, pihak berkuasa dan komuniti mengetahui masa sesuai untuk memulakan pemindahan serta menggerakkan bantuan.
“Setiap amaran awal mesti disusuli dengan tindakan yang jelas supaya agensi, pihak berkuasa dan komuniti tahu bila pemindahan perlu dimulakan serta bantuan dapat digerakkan dengan segera,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Malaysia memperkukuh usaha pengurangan risiko bencana menerusi pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
Usaha itu mengambil kira risiko dan keperluan setempat dalam perancangan pembangunan serta perlindungan perkhidmatan asas.
Malaysia juga menyokong pengukuhan kerjasama AMMDM Plus bersama Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand, khususnya dalam latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pelaksanaan Program Kerja AADMER 2026-2030.
Ahmad Zahid berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan apabila diperlukan.
