26 NOV : Seorang lelaki maut selepas ditetak sebanyak 16 kali oleh empat lelaki bersenjatakan parang yang menyerangnya di hadapan sebuah kedai makan di Kuala Ketil, Kedah kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi.
Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan awal pasukan forensik menemui 16 kesan tetakan pada tubuh mangsa, termasuk pada bahagian kaki, tangan, lutut dan belakang leher.
“Hasil pemeriksaan awal pihak forensik mendapati terdapat sebanyak 16 kesan tetakan pada tubuh mangsa sehingga menyebabkan beberapa bahagian anggota badan hampir putus akibat ditetak menggunakan parang.
“Daripada risikan, polis percaya motif kejadian berpunca daripada dendam dan perebutan kawasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat orang awam, empat lelaki bersenjatakan parang dilihat keluar dari sebuah kereta jenis Proton Persona sebelum mengejar dan menyerang mangsa.
Polis kini giat mengesan serta memburu kesemua suspek yang terbabit dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.