15 OKT: Selaras dengan pemansuhan MyTravelPass untuk ke luar negara, rakyat Malaysia kini dibenarkan mengerjakan umrah mulai Isnin ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini.
“SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang dibentangkan pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September lalu turut diwartakan selaras kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober lalu.
“Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuat kuasa 18 Oktober 2021 (Isnin),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, mesyuarat juga bersetuju mengurangkan tempoh perintah pengawasan pemerhatian bagi pengembara dari luar negara.
Menurut beliau, pengembara yang sudah menerima vaksinasi lengkap perlu menjalani kuarantin tujuh hari di rumah jika sesuai atau di stesen kuarantin manakala bagi yang belum lengkap vaksin, tempoh kuarantin adalah selama 10 hari di stesen kuarantin.
“Tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak rapat turut dikurangkan iaitu selama tujuh hari kuarantin bagi mereka yang lengkap divaksin dan 10 hari bagi mereka yang belum lengkap atau tiada vaksinasi.
“SOP lain yang dilonggarkan adalah operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi 24 jam mulai esok,” katanya.
Malah, Perdana Menteri turut memberitahu kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua fasa PPN mulai esok.
“Pembukaan Perkhidmatan Pusat Siber dan Kafe Siber dipersetujui berkuat kuasa Ahad ini dengan penyelarasan kapasiti 80 peratus bagi fasa tiga dan 100 peratus bagi fasa empat,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dibenarkan di negeri PPN fasa tiga secara bersemuka, membabitkan individu yang lengkap divaksin berkuat kuasa Isnin ini.
“Kebenaran itu termaktub dengan syarat iaitu melaksanakan ujian saringan COVID-19 melalui kaedah ‘saliva’ atau RTK Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50 peratus mengikut ruang,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata bermula 18 Oktober ini, kerajaan melaksanakan program rintis protokol ‘test and release’ (T&R) membabitkan kumpulan pengembara bagi lawatan rasmi.
Beliau berkata ia akan membabitkan pembesar negara, menteri, timbalan menteri, ketua menteri, EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan.
“Program rintis itu dilaksanakan dengan syarat perjalanan yang ketat dan terhad dan akan berkuat kuasa 18 Oktober 2021 dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat,” katanya.