6 JUN: Parti Warisan (WARISAN) menegaskan akan menyaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal yang keluar parti itu dan melanggar perjanjian.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Rina sebelum ini lima ADUN yang sudah keluar dari WARISAN turut berdepan nasib sama.
“Sebahagian mereka memang kita sudah bawa ke mahkamah kita heret mereka oleh kerana perjanjian yang telah kita nyatakan kepada mereka, pengakuan mereka.
“Itu (bawa ke mahkamah) sememangnya akan menjadi satu tindakan yang kita lakukan,” katanya.
Terdahulu, Rina mengumumkan keluar WARISAN dan mengesahkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah.
Lima wakil rakyat WARISAN sebelum ini yang sudah keluar parti adalah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yaacob (Sindumin), Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi, Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Nuil Juatim (Limbahau).
Selepas lima ADUN itu keluar parti, WARISAN kini memiliki 18 kerusi DUN dan blok pembangkang tinggal 26 kerusi, manakala blok kerajaan termasuk ADUN Bebas dan ADUN Dilantik mempunyai 52 kerusi.
Bagaimanapun, Mohd Shafie menegaskan tindakan bekas Naib Ketua Wirawati WARISAN berkenaan tidak melemahkan parti terutama di kawasan Tawau dan Kalabakan.