8 NOV : Manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan realistik dan mampu dilaksanakan, sekali gus mencerminkan harapan rakyat terhadap sebuah kerajaan yang benar-benar memahami masalah mereka.
Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, beliau yakin segala tawaran yang terkandung dalam manifesto itu boleh direalisasikan sekiranya gabungan berkenaan diberi mandat mentadbir negeri itu.
Kata bekas doktor bedah umum itu, manifesto berkenaan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan bagi menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya rasa itu satu manifesto yang realistik yang sangat prihatin kepada rakyatlah. Dan saya yakin segala manifesto yang telah dibentang itu boleh direalisasikan.
“Ini bukan janji-janji kosong. Inilah satu harapan rakyat. Memang inilah yang ditunggu-tunggu dan kita buktikan. Kita ingin membentuk sebuah kerajaan yang betul-betul boleh menyelami masalah rakyatlah dengan manifesto yang ada,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh meninjau gerak kerja jentera di Bilik Gerakan Wawasan Negara (WAWASAN) DUN Bemban pada Sabtu.
Mengulas pengalaman ketika berada di blok pembangkang sebelum ini, beliau berkata, perbezaan kedudukan politik tidak bermakna semua perkara yang dilakukan kerajaan perlu ditentang.
Sebaliknya, perkara yang baik perlu diteruskan manakala kelemahan perlu ditegur demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
“Saya pada waktu pembangkang, ya betul tapi saya tak membangkang semua. Semua orang tahu semua itu.
“Jadi mana yang baik, kita teruskan. Mana yang perlu diperbaiki saya tegurlah. Jadi itu kerja saya sebagai pembangkang. Jadi saya (ketika itu) bukan membangkang semborono,” katanya.
Mengulas persaingan di kerusi berkenaan yang turut menyaksikan pertandingan dengan calon Bersama, beliau menegaskan tidak memandang mudah mana-mana pencabar sehingga proses pengundian selesai.
Katanya, beliau akan terus mendekati masyarakat dan menjelaskan kemampuan serta pengalamannya bagi meyakinkan pengundi bahawa beliau layak dipilih sebagai wakil rakyat.
Beliau turut berpandangan pengundi perlu memilih wakil rakyat yang mengutamakan usaha menyelesaikan masalah rakyat berbanding mengejar populariti.
Dalam PRN 2021, Mohd Yadzil yang bertanding atas tiket Bersatu memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 328 undi.
Beliau kemudiannya dipecat daripada Bersatu pada 14 Februari lalu dan menyertai Wawasan.
