20 JUN : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan bahawa menjadi suatu kebiasaan bagi pihaknya mencari petugas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom berkata pihaknya perlu bersiap sedia memandangkan pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Ini satu kebiasaan. Jika kita tak cari (petugas) sekarang, kelam kabut kalau Parlimen dibubar nanti.
“Kami tidak menentukan bila Parlimen dibubarkan jadi kami perlu bersedia setiap masa,”katanya kepada BBC Portal hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal mesej yang tersebar berhubung pencarian petugas bagi PRU15 – ‘Jawatan Kosong Petugas Pilihan Raya Umum ke-15’.
Ketika diminta pengesahan sama ada mesej tersebut daripada SPR, Dr Azmi akui beliau tidak pasti.
“Tidak pasti kerana aktiviti harian dijalankan oleh urus setia bukan ahli SPR. Tolong semak dengan mereka (urus setia),” katanya.
Melalui mesej yang tersebar itu, SPR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mempelawa petugas bagi beberapa jawatan kosong dicari iaitu ketua tempat mengundi, kerani pengundian, penyelia pusat mengundi, kerani penyemak daftar pemilih dan pemandu arah pusat mengundi. –Oleh NUR EISYA