10 OKT : Pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) seharusnya tidak melebihi had 10 peratus bagi mengelakkan kerugian.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata objektif utama LTAT adalah untuk menyediakan simpanan persaraan jangka panjang yang mampan bagi bekas tentera dengan dividen tahunan yang kompetitif.
“Bagaimanapun, jika LTAT melabur lebih daripada 50% dalam satu kumpulan pelaburan, seperti Boustead Plantation dan jika Boustead menghadapi kesulitan kewangan, ia pasti akan memberi kesan kepada LTAT, seterusnya mungkin memerlukan dana pelaburan milik kerajaan untuk mendapatkan pinjaman dengan jaminan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjawab soalan yang diutarakan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Tarmizi meminta menteri itu menyatakan kedudukan kewangan dan pelaburan LTAT bagi memastikan ia terus komited dalam melaksanakan fungsinya sebagai skim simpanan persaraan bagi bekas tentera.
Dalam pada itu, Johari yang juga Pengerusi Backbenchers menggesa kerajaan agar lebih berhati-hati melakukan perancangan strategik di dalam pelaburan bagi meyakinkan pelabur untuk melabur di Malaysia
Beliau berkata tindakan kerajaan membuat ‘pusingan u’ selepas memeterai perjanjian menjual pegangan 33% dalam Boustead Plantation Bhd kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) memberi kesan kepada pasaran saham.
“Bila pengunguman sudah dibuat dan masyarakat pelabur sudah bersetuju, malah sudah memberi reaksi positif, selepas itu kita ‘reverse’, ini akan menyebabkan orang (pelabur) tidak yakin dengan pasaran modal kita,” katanya.
Johari berkata kerajaan perlu memahami selok-belok amalan pelaburan melibatkan pembelian dan penjualan saham seperti Permodalan Nasional Bhd.
“Pada 2020, PNB menjual 56.3% pegangannya dalam Chemical Company of Malaysia Bhd kepada Batu Kawan Bhd untuk RM292.8 juta, manakala pada 2021, Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Boustead di Kuala Lumpur dijual kepada syarikat Singapura, Hotel Royal Ltd dengan harga RM177.3 juta.
“Kalau kita ada dana banyak manapun, setiap kali kita beli kita simpan, akan rugi. Selepas itu, nak jual pun tak boleh. Lama-lama, kerajaan akan menyimpan aset yang tidak memberi faedah,” katanya.