16 OKT : Susulan sikap pro-Israel dan sokongan terbuka penganjur terhadap rejim zionis, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt (Frankfurter Buchmesse) 2023.
Pesta buku itu yang dijadualkan berlangsung di Frankfurt, Jerman minggu ini.
KPM menegaskan keputusan itu selari dengan pendirian kerajaan yang bersoladiri menyokong perjuangan Palestin.
“KPM tidak akan sekali-kali berkompromi terhadap keganasan Israel di Palestin. Ia jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Keputusan yang diambil KPM adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini,Pengarah Frankfurter Buchmesse, Juergen Boos memuat naik kenyataan yang mahu menjadikan suara Yahudi dan Israel kedengaran terutamanya di pesta buku tersebut.
Kenyataan itu jelas mengundang pelbagai reaksi.
Hari ini Ikatan Penerbit Indonesia juga mengeluarkan kenyataan membatalkan penyertaan mereka mewakili republik itu susulan pendirian Boos.
Kelmarin, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dilaporkan berkata Malaysia harus mengambil tindakan tegas dengan memboikot pesta buku itu.
“Malaysia juga harus boikot Pesta Buku Frankfurt Book sebagai tanda protes kepada pendirian pihak penganjur. Pesta buku seharusnya neutral,” katanya.
Dalam perkembangan sama, penganjur pesta buku itu juga membatalkan kemenangan seorang penulis Palestin, Adnia Shibli menyebabkan Pihak Berkuasa Buku Sharjah dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) memboikot pesta buku tersebut.