1 MAC: Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang genap setahun hari ini, disifatkan antara terbaik dunia, terutama dalam pengendalian krisis COVID-19.
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr Ismail Sualman, berkata kerajaan yang dikemudi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya meletakkan negara di landasan tepat, biarpun berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi.
“Sebagai kerajaan, mungkin ada perkara yang kurang disenangi, tetapi daripada aspek menangani krisis COVID-19, menjaga kebajikan rakyat dan kemaslahatan negara, saya lihat cukup baik.
“Perdana Menteri membantu golongan sasaran, terutama yang terjejas dengan pandemik ini secara teratur dan menyeluruh tanpa ada kumpulan tertinggal.,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ismail yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata sepanjang 12 bulan memerintah, Perdana Menteri berjaya meningkatkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat krisis kesihatan global.
Katanya, dalam tempoh singkat itu juga, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej ransangan bagi meningkatkan taraf hidup dan membantu keperluan rakyat, sekali gus menepati konsep Prihatin Rakyat yang dilaungkan kerajaan.
“Rakyat patut bersyukur mempunyai Perdana Menteri dan kerajaan yang mampu mentadbir serta menangani situasi sukar sepanjang COVID-19 biarpun negara tidak pernah berdepan situasi begini.
“Ditambah keadaan hubungan perdagangan sukar dijalankan seperti dahulu kerana kekangan COVID-19, kerajaan tetap melaksanakan inisiatif terbaik, terutama memfokuskan kepada kebajikan rakyat, seperti golongan B-40,” katanya. – OLEH FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN