31 OKT : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kini gering akibat dijangkiti virus Influenza A.
Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan, gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat, 30 Oktober apabila baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.
Menurut doktor peribadi Baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng, Sultan Selangor berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan baginda kini beransur pulih walaupun masih mengalami demam.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan baginda kini beransur pulih, namun Baginda masih mengalami demam,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, doktor yang merawat baginda menasihatkan supaya Sultan Selangor berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis selama lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya.
Susulan perkembangan itu, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 1 November ditangguhkan ke Sabtu, 7 November.
“Semua pihak yang terlibat dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh tersebut. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai,” menurut kenyataan itu lagi.
Istana Alam Shah turut menyeru orang ramai bersama-sama mendoakan agar Sultan Selangor dikurniakan kesembuhan segera serta kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan.