2 FEB : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 5,736 lagi kes COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 2,882,324 individu yang sudah dijangkiti virus berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah baharu itu, 5,553 daripadanya membabitkan kes tempatan iaitu sebanyak 96.5 peratus terdiri daripada warga tempatan manakala 3.5 peratus, bukan warganegara.
Katanya, sebanyak 183 kes import direkodkan membabitkan 81 warga tempatan manakala bakinya bukan warganegara.
“Sebanyak 46 kes daripada jumlah positif COVID-19 dilaporkan hari ini adalah dalam kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 5,690 kes, dalam kategori 1 dan 2.
“Manakala sebanyak 112 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 89 daripadanya disahkan COVID-19, manakala 23 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan,”,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Kata Dr Noor Hisham lagi, sebanyak 54 kes memerlukan alat bantuan pernafasan dengan 41 daripadanya disahkan akibat COVID-19 manakala bakinya adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.
Tambahnya, KKM turut mengesan lapan kluster baharu menjadikan jumlah kluster semuanya sebanyak 6,442 dan sebanyak 322 daripadanya adalah kluster aktif.