Tiada menteri terlibat dalam salah laku tadbir urus
7 JUL : Sehingga kini, tiada menteri dalam Kerajaan Perpaduan terlibat dalam amalan yang menyalahi tadbir urus dan tata kelola.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuklah isu rasuah dan ketirisan dimana ia tidak berlaku di bawah kepimpinannya selama tujuh bulan mentadbir.
“Dalam tujuh bulan ini, belum ada kes menteri yang amalkan gelojoh nafsu serakah yang lama untuk menyakau mana-mana kontrak (kerajaan) kerana kita tegas jaga tata kelola ini, elak dari rasuah dan ketirisan,” katanya.
Beluau berkata demikian ketika berucap di hadapan 10,000 warga peneroka Felda sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2023, hari ini.
Anwar turut berkata, walaupun Kerajaan Perpaduan dianggotai pelbagai parti seperti PKR, DAP, UMNO, Amanah dan Gabungan Parti Sarawak, namun tiada unsur-unsur sabotaj berlaku seperti didakwa sesetengah pihak.
“Saya dalam PH (Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (daripada) UMNO, tapi kita ambil keputusan demi Felda, demi kehidupan orang Melayu, dan rakyat Malaysia kita ambil bersama angkat martabat negara ini untuk hebat semula.
“Bila saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tolong Felda, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, disokong Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Inilah perpaduan yang membawa kebaikan untuk rakyat,” katanya lagi.
Anwar pada majlis itu menyatakan komitmen kerajaan untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.