9 SEPT : Kerjasama jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membuktikan gabungan itu mendapat sokongan pengundi apabila memenangi dua kerusi Pililihan Raya Kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram, malam ini.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO dalam meraih sokongan pengundi Melayu di Pulai memberikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Apabila kita mula berkempen, saya melihat kesungguhan yang paling nyata daripada pemimpin-pemimpin UMNO Johor. Ini yang menyebabkan keyakinan saya untuk menang di Pulai tinggi, malam ini kita berjaya membuktikannya.
“Alhamdulillah dengan kemenangan di kedua-dua kerusi ini membuktikan rakyat sudah mula menolak gelombang hijau dan ombak ekstrem yang mahu dibawa oleh Perikatan Nasional. Dalam tempoh empat tahun ini kita semua perlu bekerja kuat dan membuktikan kesepaduan yang terjalin antara PH dan BN ini dapat memberikan kemakmuran buat rakyat Malaysia.
“Terima kasih kepada seluruh petugas yang telah berusaha keras sejak dari awal tempoh berkempen lagi. Terima kasih kepada rakyat Johor yang memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap di luar Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran Facebooknya turut menzahirkan kegembiraan di atas kemenangan Kerajaan Perpaduan di Pulai malam ini.
“Tahniah diucapkan kepada Ahli Parlimen Pulai yang baharu Saudara Suhaizan Kayat dan Adun Simpang Jeram Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman yang diberikan kepercayaan kepada rakyat untuk memenangi PRK kali ini.
“Terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kerja keras menggerakkan seluruh jentera BN bahagian-bahagian di Johor yang berkampung di setiap Pusat-Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk kedua-dua Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram selama lebih dua minggu,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL