12 NOV : Penyelesaian masalah paip lama, pembinaan balai bomba dan urusan pemilikan rumah generasi kedua FELCRA menjadi antara agenda yang mahu dituntaskan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan.
Katanya, beberapa keperluan penduduk masih memerlukan perhatian dan tindakan susulan bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di kawasan itu terus terpelihara.
Fairul Nizam yang lebih dikenali sebagai YB Along berkata, pengalaman berkhidmat selama empat tahun 10 bulan sebagai wakil rakyat memberinya pemahaman mengenai isu yang masih belum diselesaikan dan perlu diberi keutamaan sekiranya kembali diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Antara perkara yang mahu diberi perhatian ialah masalah paip lama dari Pekan Nyalas hingga Sungai Dua, selain meneruskan projek pembinaan balai bomba dan menyelesaikan urusan pemilikan kediaman generasi kedua FELCRA.
“Sudah semestinya kita akan sambungkan mana yang belum selesai, contohnya pembinaan balai bomba. Kemudian, kita nak selesaikan masalah paip lama di Pekan Nyalas sampai ke Sungai Dua.
“Kita akan selesaikan juga urusan rumah generasi kedua FELCRA yang sekarang ini masih dalam proses. Saya akan pikul tanggungjawab ini sampai selesai,” katanya.
Selain kemudahan asas, peningkatan mutu pendidikan turut menjadi tumpuan Fairul Nizam bagi memastikan anak-anak di kawasan berkenaan mempunyai peluang lebih baik pada masa depan.
“Yang paling penting bagi saya adalah peningkatan tahap pendidikan untuk anak-anak dalam DUN Asahan,” katanya.
Dalam pada itu, kebajikan masyarakat Orang Asli turut diberi perhatian, khususnya membabitkan keadaan kediaman dan kemudahan asas yang masih memerlukan penambahbaikan.
Menurutnya, sebanyak 18 rumah penduduk Orang Asli yang sebelum ini berada dalam keadaan usang dan daif sudah dibaik pulih.
Bagaimanapun, masih terdapat 24 kediaman yang memerlukan pembinaan tandas baharu kerana kemudahan sedia ada terlalu uzur dan tidak lagi boleh digunakan.
“Untuk tahun hadapan, sekiranya terus diberikan mandat, kita mahu menyelesaikan pula masalah tandas ini.
“Kediaman mereka bukan tiada tandas, tetapi tandas sedia ada sudah tidak boleh digunakan kerana terlalu lama. Jadi, 24 rumah ini memerlukan tandas baharu,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu kepadatan penghuni dalam kediaman masyarakat Orang Asli apabila terdapat rumah yang terpaksa menempatkan sehingga tiga atau empat keluarga di bawah satu bumbung.
