12 NOV : Seorang petugas Perikatan Nasional (PN) meninggal dunia pada awal pagi Rabu selepas mengadu sakit dada sebaik pulang dari Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Allahyarham Muhammad Firdaus Selamat, 33 yang juga petugas Pemuda PAS Paya Rumput, dikatakan tiba di rumah sekitar jam 2 pagi selepas menyelesaikan urusan permit bagi semua ceramah dan aktiviti kempen sehingga hari pengundian.
Calon PN DUN Paya Rumput, Rafie Ahmad berkata terkejut dan sedih ketika dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham yang merupakan anak kepada sahabatnya.
Menurutnya, pertemuan terakhir mereka adalah pada malam Selasa ketika menghadiri program bola jaring persahabatan anjuran Ameerah dan Puteri UMNO.
“Kali terakhir saya jumpa dia malam tadi (Selasa), masa pelancaran ataupun perasmian program bola jaring persahabatan.
“Dia ambil gambar dengan saya, dia kata, ‘simpan gambar ini buat kenangan’, tetapi saya tidak terfikir apa-apa ketika itu,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Katanya, Allahyarham juga bersetuju untuk bekerja sepenuh masa dan membantu menggerakkan kempen sepanjang tempoh pilihan raya.
Rafie berkata, beliau sebenarnya berhasrat untuk mengambil Allahyarham sebagai anggota pasukannya sekiranya memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.
“Saya kata, ‘Daus ini rajin, komited’. Saya kata lagi kepadanya, sekiranya saya ditakdirkan menang di Paya Rumput, memang saya nak ambil dia sebagai salah seorang anggota yang bersama dengan pasukan saya nanti.
“Sebab itu saya menyuarakan hasrat kepadanya dan bertanya, sepanjang sebulan saya bertanding ini, boleh tak kerja sepenuh masa? Dia kata tidak ada masalah dan akan sokong. Dia kata dia akan kerja dari pagi sampai malam,” katanya.
Menurut Rafie, Allahyarham turut membantu mengatur program, bertemu penduduk serta melaksanakan pelbagai tugasan sepanjang kempen.
Malam itu, sebaik tiba di rumah selepas pulang dari bilik gerakan, Allahyarham sempat menyediakan makanan untuk anaknya istimewanya sebelum berehat.
Bagaimanapun, Allahyarham kemudian mengadu sakit dada sebelum petugas perubatan yang tiba mengesahkan kematiannya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil anak kedua serta seorang anak yang menghidap autisme.