1 JAN : Situasi banjir di Kelantan dan Johor dilaporkan beransur pulih pagi ini namun keadaan banjir di Perak mula merekodkan peningkatan mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Kelantan, tinggal satu PPS masih beroperasi di Rantau Panjang setakat pagi ini dimana 31 mangsa daripada sembilan keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9.80 meter berbanding paras bahaya 9.0 meter.
Sementara di Johor, mangsa banjir di daerah Kota Tinggi kekal 69 orang daripada 17 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata 42 mangsa daripada 12 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Gembut manakala 27 mangsa daripada lima keluarga lagi berlindung di Balai Raya Kampung Perpat.

Di Perak, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan pagi ini meningkat kepada 399 orang daripada 86 keluarga, berbanding 52 orang daripada 11 keluarga, malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan kesemua mangsa berlindung di Dewan Kampung Asli Chinggung dan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, Muallim.
Dalam pada itu Sungai Slim kini berada pada paras bahaya iaitu 25.41 meter berbanding paras biasa 23.50 meter.
*Foto: Facebook Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)