BRICS: Perkukuh multilateralisme, tadbir urus AI beretika
7 JUL : Malaysia memberi fokus kepada usaha memperkukuh multilateralisme, reformasi dalam sistem ekonomi dan kewangan global serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Brazil, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili negara mengambil bahagian pada hari pertama sidang itu.
“Dalam sesi intervensi, saya tegaskan pendirian Malaysia bahawa masa depan dunia tidak harus dibelenggu oleh pertembungan blok atau perpecahan geopolitik, sebaliknya dibentuk melalui semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua.
“Saya memandang serius senario pertembungan ‘geopolitics of tech’ atau teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang membawa risiko terhadap inovasi dan kestabilan bermasyarakat dan bernegara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Malaysia menyertai sidang kemuncak itu atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025 di mana penyertaan negara dalam blok itu diterima secara rasmi menjadi 1 Januari lalu.
Sementara itu, Anwar menegaskan multilateralisme bukan lagi satu pilihan sebaliknya ia merupakan keperluan mutlak untuk menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi dan kedaulatan negara-negara membangun agar tidak terus terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi.
“Dalam menghadapi realiti ini, Malaysia memilih jalan kerjasama yang berprinsip, bukan konfrontasi, selaras dengan prinsip keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat,” katanya.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia turut menggesa agar dunia tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.
“BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan memartabat maruah insan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memperjuangkan agenda yang selari dengan aspirasi BRICS termasuk reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil, terbuka dan berpaksikan pembangunan.
Katanya, Malaysia turut menyambut baik kenyataan BRICS yang menekankan tadbir urus AI berasaskan nilai etika dan kesejahteraan sejagat.
“Kita sendiri telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI dan kini memimpin inisiatif penubuhan jaringan ASEAN AI bagi memperkukuh keupayaan, ketelusan dan piawaian serantau dalam teknologi canggih ini.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan BRICS dan negara-negara rakan bagi membentuk sebuah sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat dan diyakini serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi demi masa depan bersama umat manusia,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK