6 MEI : Lebih 600 kandungan palsu melibatkan krisis tenaga dan bekalan global dikesan disebarkan melalui aktiviti terancang atau tingkat laku tidak autentik yang diselaraskan iaitu Coordinated Inauthentic Behavior (CIB).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan kandungan tersebut sejak 29 Mac lalu.
Katanya, kandungan tersebut berkait harga bahan api serta dakwaan tidak benar mengenai pembayaran tol di Selat Hormuz.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata MCMC mengesan petunjuk bahawa penyebaran kandungan itu dibuat secara tersusun bagi mengelirukan orang ramai.
“Daripada pengamatan MCMC dan hasil siasatan yang dijalankan, kita tidak menolak kemungkinan wujud usaha terancang untuk menyebarkan maklumat palsu melalui kaedah CIB.
“Kebanyakan hantaran ini menggunakan grafik yang sama, dimuat naik dalam tempoh masa hampir serentak dan cuba disebar secara meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan kementeriannya, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata setakat ini lima kes sudah dan bakal didakwa di mahkamah.
Menurutnya, sebanyak lapan kes dikompaun dengan jumlah keseluruhan mencecah RM200,000 sementara ada beberapa kes lain masih dalam siasatan dan menunggu arahan lanjut pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Katanya, kemungkinan kandungan berkenaan sengaja disebarkan bagi mencetuskan spekulasi serta panik awam turut diteliti.