Malaysia sasar jadi peneraju AI serantau
9 SEPT : Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi AI Nation 2030 dengan sasaran menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) serantau.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, dalam mesyuarat itu beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi mesti seiring dengan pulangan nyata dari segi produktiviti dan kesejahteraan rakyat.
“Sebagai langkah pendigitalan perkhidmatan awam, MyGOV Malaysia dibangunkan sebagai platform sehenti semua urusan kerajaan.
“Justeru saya telah mengarahkan agar semua kementerian dan agensi segera mengintegrasikan perkhidmatan mereka ke dalam aplikasi ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, usaha memperluas MyDigital ID juga diteruskan dengan sasaran 15 juta pendaftaran menjelang akhir tahun yang dibantu proses pengesahan melalui JPN.
Selain itu,katanya, akses Internet di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPT A) sedang ditambah baik di mana beliau menyarankan agar ia diperluaskan ke Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional, Institut Pendidikan Guru (IPG) serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pesanan saya, infrastruktur digital yang kukuh adalah asas penting dalam memacu ekonomi digital dan memastikan teknologi benar-benar memanfaatkan rakyat,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA