6 NOV : Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta sudah mencapai sasaran ditetapkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah diselesaikan pagi tadi, selepas jumlah kutipan menerusi tabung berkenaan mencukupi.
“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam (crowdfunding) bagi tujuan tersebut.
“UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli UMNO seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tabung Solidariti Najib Razak itu dilancarkan selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64.
Sebelum ini, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas sabitan dalam kes SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Najib tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar jumlah berkenaan.
Bulan lalu, beliau berkata Najib akan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta bersama keluarga.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata Najib kekal di penjara selagi masih belum menjelaskan denda yang ditetapkan itu dan tiada had masa ditetapkan untuk melunaskan bayaran tersebut.