20 NOV : Kerajaan memandang serius situasi kewangan pendeposit Tabung Haji apabila separuh daripada jemaah terpilih bagi musim 2025 terpaksa menolak tawaran disebabkan kekangan kewangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perkembangan itu menunjukkan tahap simpanan pendeposit berada pada paras membimbangkan dan perlu ditangani segera.
“Pada masa ini, 53% daripada 9.7 juta orang pendeposit hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.
“Manakala, 50% jemaah haji bagi tahun 2025 yang terpilih telah menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang disiar di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkait kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH.
Menurut Mohd Na’im, sebahagian besar pendeposit berada dalam kategori simpanan minimum, sekali gus menjejaskan persiapan kewangan mereka untuk menunaikan haji.
Menurutnya, persaingan pelbagai produk simpanan dan pelaburan seperti unit amanah, emas, skim pendidikan dan persaraan mengurangkan daya tarikan TH sebagai institusi tabungan.
Selain itu, beliau berkata peningkatan simpanan sejak tiga tahun kebelakangan ini hanya berlaku melalui pelaburan semula agihan keuntungan, bukan daripada tabungan baharu pendeposit.
“Mengambil kira kesemua faktor ini dan berdasarkan data dan tren kajian yang teliti telah dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan inisiatif ini bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji,” katanya.