15 APR : Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada kadar RM2.15 seliter susulan kebergantungan wilayah itu terhadap bahan api berkenaan.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan di kawasan itu diesel bukan setakat bahan api bagi penggunanya namun ia nadi kehidupan untuk menjalankan aktiviti harian.
“Dengan keluasan geografi 60 peratus lebih besar dari Semenanjung dan bentuk muka bumi yang mencabar, penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan lebih bergantung kepada penggunaan diesel,” menurut MoF dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Populasi di wilayah tersebut katanya hanya 5.9 juta tetapi keluasan geografinya itu 60% lebih besar berbanding Semenanjung.
“Kawasan pedalaman yang luas dengan bentuk muka bumi mencabar menghadkan akses jalan raya.
“Penduduk bergantung kepada pengangkutan air dan kenderaan berat seperti pacuan empat roda,” menurut visual yang dikongsi MoF.
Menurut data yang dikongsi, MoF berkata sebanyak 6.7 bilion liter diesel digunakan di Semenanjung termasuk di bawah bantuan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), BUDI Individu, BUDI Agri-Komoditi dan nelayan.
Katanya, penggunaan diesel sekitar 2 bilion liter dengan harga RM2.15 seliter yang dikekalkan adalah bagi menyokong keperluan rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Selain itu, MoF berkata diesel menjadi sumber tenaga utama untuk kehidupan harian di wilayah itu dengan liputan elektrik serta infrastruktur yang tidak menyeluruh di sesetengah kawasan luar bandar.
“Penghantaran barangan melalui sungai dan laut melibatkan jarak jauh serta kos yang lebih tinggi.
“Justeru diesel digunakan secara meluas untuk menjana elektrik dan aktiviti seperti pengangkutan juga perikanan.
“Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar memberi penekanan kepada keperluan penggunaan dan prinsip kesamarataan bagi memastikan keberkesanan agihan kepada rakyat Malaysia,” kata MoF.
Dalam kenyataan sama, MoF berkata kerajaan turut menyalurkan bantuan RM400 melalui BUDI Diesel bagi membantu menampung kos penggunaan diesel rakyat di Semenanjung.