12 DIS : Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025, hari ini selepas berhubung dengan Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính, hari ini.
Menurut Anwar, mesyuarat itu penting untuk menilai situasi dan meredakan ketegangan demi memelihara keamanan serantau.
“Saya telah berhubung dengan rakan sejawat saya, Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính bagi membincangkan perkembangan semasa di rantau ini serta usaha-usaha bersama untuk memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya memaklumkan bahawa Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat untuk menilai situasi, menyokong langkah meredakan ketegangan, dan mengukuhkan peranan kolektif ASEAN dalam memelihara keamanan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, malam ini.
Melalui kenyataan itu juga, Anwar menzahirkan komitmen negara dalam memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam.
“Dalam pada itu, saya turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam dalam menangani isu penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).
“Kerjasama ini termasuk penyelarasan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan langkah pencegahan dan saya yakin bahawa melalui dialog berterusan dan mekanisme sedia ada, isu ini dapat diselesaikan secara berhemah, tenang dan saling menghormati,” katanya.